7 Tips Anda Perlu Tahu Sebelum ke KidZania Kuala Lumpur| Pengalaman di KZKL

Pengalaman di Kidzania Kuala Lumpur | Untuk info ringkas,  Kidzania adalah sebuah pusat permainan yang berorientasikan pendidikan dan pembelajaran untuk kanak kanak dengan kerjasama syarikat syarikat korporat dan jabatan berkaitan. Ia menghimpunkan lebih 100 jenis kerjaya yang ada seperti bomba, polis, doktor, kehakiman dan lain lain bagi membolehkan kanak kanak seawal usia 4 hingga 12 tahun merasai sendiri pengalaman bekerja dalam bidang tertentu, dalam saiz mereka. Semua peralatan, tools, pakaian malah uniform juga turut di reka khas dengan saiz kanak kanak.

Di sini, mereka berpeluang untuk mengeksplorasi dunia sebenar pekerjaan orang dewasa. Kanak kanak juga turut dibekalkan dengan duit yang diberi nama KidZos untuk berbelanja. Malah, mereka akan menerima “gaji” jika menjadi pekerja atau memberikan servis dalam bidang pilihan. Sama seperti dunia sebenar pekerjaan orang dewasa. Menarikkan! Ok  jom kita cerita lanjut tentang pengalaman berada dalam Kidzania Kuala Lumpur ni. Nanti, saya akan share juga tip tip yang anda perlu tahu sebelum ke sini.

Sebelum terlupa, KidZania terletak di kawasan Mutiara Damansara, PJ. Banyak tempat menarik di sekitar kawasan ini, antaranya IKEA Damansara, Ikano Power Centre, The Curve, Tesco dan lain lain lagi. Tak susah nak cari jalan ke sini, kerana lokasi KidZania terletak di tengah tengah bandar. Kalau rasa tak pasti, boleh guna Google Map atau Waze je, sure boleh sampai ;-).

Kami di KidZania Kuala Lumpur

Jika anda datang dari luar Kuala Lumpur, bolehlah menginap di hotel hotel berdekatan contohnya seperti The Royale Bintang The Curve, The Royal Chulan Damansara, One World Hotel  dan Qliq Damansara yang bertaraf 4 bintang. Memang selesa lagi tip top. Tapi kalau nak jimat bolehlah cari hotel hotel biasa atau kalau nak lagi jimat boleh tumpang tidur rumah saudara mara :-D.

Idea nak ke KidZania ni sebenarnya dah lama ada, tapi apabila mengenangkan harga satu tiket kanak kanak pun sudah mencecah RM80, terpaksalah di pendam dulu hasrat hati. Walaupun tiket untuk dewasa hanyalah separuh harga biasa tapi apabila dicongak, boleh tahan  juga mahalnya untuk kami 6 beranak ni.

Dipendekkan cerita, baru baru ini ada seorang kawan yang baik hati telah menghadiahkan saya, 6 keping tiket ( complimentary) ke Kidzania. 2 tiket kanak kanak dengan sticker “FREE”, dan 4 lagi dengan potongan 50%. Alhamdulillah, rezeki kami. Ngam ngam dapat 6 tiket. Rasa macam nak lompat bintang! hahah Over eksaited namanya tu

Kami plan nak pergi pada hari bekerja, dengan harapan tak ramai orang. Kalau sabtu ahad, takut terlalu padat, tak banyak permainan yang boleh dimainkan. Jadi kami pergi pada Khamis, ( dalam kata lain,pontengkan mereka sehari :-p). Anak anak memang teruja habis. Maklumlah tak pernah sampai. Selama  Pada hari yang dijanjikan kami keluar pukul 11 pagi dan sampai pukul 12 tengahari. Sesampai disana, tiket semua dah sold out ! Aduhh… silap planning pulak

TIPS PERTAMA : DAPATKAN INFO TIKET

Menurut pegawai bertugas, kebetulan hari tersebut merupakan hari pelancaran hero kanak kanak Adi Wira, banyak sekolah yang telah membuat tempahan ke Kidzania. Jadi tiket awal awal lagi  dah habis. Menurut pegawai tu juga, adalah lebih baik jika datang seawal mungkin, kalau lambat takut rugi masa. Waktu operasi KidZania bermula pukul 10 pagi, tapi pukul 9.30 pelawat sudah boleh mula beratur untuk membeli tiket, katanya.

Tips KE-2 : Datang Awal

Oklah , kami plan untuk pergi semula pada Ahad, memandangkan tiket yang telah dijual secara online untuk hari tersebut tidak begitu banyak. Sekali lagi kami ke KidZania. Kali ini sampai awal. Pukul 10 kami sudah mula terpacak beratur. Masing masing tak sabar nak masuk ke Kidzania termasuklah mak dengan bapak anak sekali :-p.

Harga Tiket Masuk ke Kidzania Kuala Lumpur

Apabila tiba saja di kaunter, saya dah siap siap keluarkan duit untuk tiket. Ok sebelum tu tahu tak berapa total sebenar tiket untuk kami berenam ? Jumlah keseluruhan ialah RM360 beb !

“Setelah ditolak dengan tiket complimentary, jumlah yang cik kena bayar cuma RM98″ kata cashier di kaunter

“Eh betul ke ? Bukan RM84 ke ?” tanya saya

“Ye betul, itu kalau cik beli tiket online, ada potongan 10%, tapi sekarang cik beli di kaunter tak ada diskaun cik, harga biasa”, katanya. Oooo… baru saya tahu. Jadi kalau nak jimat, belilah tiket secara online.

Untuk panduan, dibawah ini adalah senarai harga tiket masuk ke Kidzania untuk pembelian secara dalam talian. 

Tips ke- 3: Beli Tiket Secara Online Jimat 10%

Ok dah tiba masa masuk ke Kidzania. Setiap seorang dari kami dilekatkan dengan alat seakan akan jam tangan dan di scan. Untuk tujuan pengesahan dan keselamatan. Manalah tahu kalau kalau ada anak yang hilang. Bukan dekat pasarya saja tau anak anak boleh hilang

Anak anak Homeschool ke KidZania

Permainan Dalam Kidzania Kuala Lumpur

Bila masuk sahaja didalamnya, perkataan pertama yang keluar ialah “Wahhh best  gile !”. Memang kagum sangat dengan segala bagai kelengkapan di dalamnya. Macam macam ada. Semua rasa nak main. Antara yang menarik perhatian ialah melihat anak anak kecil berpakaian seragam bomba menaiki trak untuk pergi memadam kebakaran siap sekali siren berbunyi. Boleh bayangkan tak kecomelan masing masing hihih ?

Ok sebelum bermula, kena pergi tunaikan dulu cek di CIMB Bank untuk dapatkan duit atau KidZos yang bakal digunakan untuk permainan nanti.  Mak ayah tak boleh masuk ye, anak anak yang kena masuk sendiri, beratur dan berurusan di kaunter. Jangan risau mereka akan di bantu oleh staf. Ini pun merupakan salah satu pembelajaran untuk mereka lebih berdikari dan yakin dengan diri sendiri di masa depan. OK, selepas dapat duit, masa untuk bermain, yeay!

Duit KidZania KidZos

Process Flow for Visitor to KidZania

Kalau yang ramai anak, bolehlah bahagi bahagikan mereka untuk main permainan yang berbeza,  boleh cuba pelbagai aktiviti. Tidaklah semuanya beratur pada satu tempat, jimat masa. Sekurang kurangnya boleh masuk ke tempat yang tak begitu ramai orang. Macam kami, anak lelaki ikut ayahnya ke segmen pekerjaan yang lebih mencabar seperti pilot. Ini di tingkat ke dua. Mereka akan di bawa ke pesawat Air Asia sebagai juruterbang . Saya pula bawa Caca dan Rania ke bahagian yang ala ala kewanitaan sikit.

TIPS KE-4 : BAHAGIKAN ANAK ANAK MENGIKUT PERMAINAN KESUKAAN

Aktiviti pertama mereka ialah masuk ke salun kecantikan atau KURLZ Beauty Salon. Di sini boleh pilih sama ada nak warnakan kuku atau nak di solekkan . Rania macam biasa pilih bersolek. Caca pilih mewarnakan kuku. Maklumlah masing masing dah pandai bergaya, ikutkan saja la. Muka masing masing ceria dapat disolekkan. Harga untuk servis ini ialah 4 KidZos seorang.  Anggaran jangkamasa 20 minit.

Beauty Salon di KidZania                                                    Rania disolek

Manicure di Beauty Salon KidZania  Caca suka sangat kena warnakan kuku

Seterusnya kami ke bahagian PLUS Expressway. Dalam ni ada 4 role yang boleh dipilih. Sama ada nak jadi pemandu, jurutol, mekanik atau pembantu stesen minyak. Untuk jadi pemandu, ketinggian mesti melebihi 120 cm kalau tak salah dan perlu ada lesen memandu. Lesen memandu perlu di ambil di bahagian Sekolah Memandu terlebih dahulu. Apabila sudah lulus barulah dibenarkan untuk memandu. Disebabkan Rania dan Caca tak cukup ketinggian, jadi mereka pilih untuk jadi jurutol. Seronoknya juga tengok mereka mengendalikan booth tol tu. Buka tutup palang untuk kenderaan yang lalu. Ngeeee.. Ok di sini mereka dibayar kerana memberikan servis atau perkhidmatan. Kiranya dapat gajilah. Dapatlah seorang 8 KidZos! Boleh disimpan untuk permainan berikutnya

Satu lagi aktiviti yang best ialah aktiviti wall climbing. Di sini pun ada had ketinggian juga. Caca tak lepas, tapi Rania boleh. Merasalah si kakak panjat dinding. Ia seolah olah sebuah pertandingan. Ada 2 tali dan 2 peserta. Siapa yang sampai atas dulu dan dapat membunyikan loceng dikira sebagai pemenang. Tapi Rania sampai separuh saja, sebab faktor badannya yang ….. hehe.

Wall Climbing

Selepas itu, kami ke Poslaju pula. Di sini mereka di kehendaki menghantar barang ke lokasi lokasi tertentu dan perlu mendapatkan tandatangan penerima. Jangan terkejut kalau nampak mak ayah pun berlari lari ikut serta tolong carikan lokasi tersebut.

Apabila masuk ke tengahari masing masing pun dah lapar. Sebelumnya saya ada beli 4 ketul roti bun dan sebotol air mineral sebagai bekal. Konon tak nak membeli dalam Kidzania sebab diberitahu, harga makanan di sini agak mahal. Tapi belum sempat tunggu tengahari pun, habis selamat di makan dek anak anak. Di tambah pula dengan aktiviti yang bebas bergerak dan banyak menggunakan tenanga, lagi terasa lapar. Mana cukup seketul roti !

Jadi, nak tak nak terpaksa pejam mata beli juga makan tengahari.  Tengoklah total bilnya. Ini pun sudah sehabis jimat! Tapikan kena sorok sorok sikit kalau nak bawa makanan kerana disini tidak dibenarkan membawa makanan dari luar.

Bill Makan Tengahari di KidZania

Tips ke 5: Bawa makanan dan air sendiri (syhhh)

Lepas makan, semua dah bertenaga semula, kali ini kami ke set Bomba dan Penyelamat. Kalau nak tahu bomba ni antara permainan yang popular di sini. Jadi barisannya memang panjang. Hampir 40 minit juga beratur menunggu giliran tapi memang berbaloilah tengok anak anak gembira. Mereka dipakaikan seragam bomba siap dengan topi sekali. Lepas tu dapatlah naik trak dan kemudiannya memadam kebakaran di tempat ala ala hotel. Abang abang bomba pun  semuanya ceria melayan karenah anak anak. Selain bomba, AirAsia Flight Simulator (juruterbang) dan Police juga antara tempat yang digemari kanak kanak.

Jabatan Bomba dan Penyelamat

Anak Anak Memadam Kebakaran diKidZania

Ilham dan Azeem depan Track Bomba KidZaniaAbang dan Azeem posing depan trak Bomba

Sebelum terlupa, surau turut disediakan di sini tapi di tingkat lain. Kena keluar dulu dari Kidzania dan turun dua tingkat kebawah. Kemudian boleh masuk semula.

Selain pemainan di atas, antara lain yang dimainkan adalah seperti pegawai di Tourism Malaysia, doktor di wad kecemasan, pembantu butik dan penari. Banyak lagi sebenarya permainan yang lain tapi masa tak mencukupi. Memang tak terhabis pun semuanya dalam satu hari.

Belajar MemasakCaca Main Masak Masak

Buat Anting Anting di Karatz Jewellary Buat Anting Anting di Karatz Jewellary 

Doktor di GlenEangles Accident & EmergencyDoktor di GlenEangles Accident & Emergency

Percutian ke JohorPercutian ke Johor di Tourism Malaysia KidZania KL

TIPS KE-6 : SUSUN ATUR MASA SEBAIKNYA

Untuk mak ayah, sila bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengejar anak anak anda ke hulu dan ke hilir ya. Memang akan terasa penatnya. Sampai keesokannya pun sakit kaki lagi, penat tak habis. Kalau bawa anak anak berusia 3 tahun dan kebawah, bolehlah naik ke tingkat atas. Ada satu tempat khas untuk mereka bermain. Penuh dengan bola bola dan boleh main lompat lompat. Anak anak seusia ini memang tak boleh nak menunggu lama untuk satu satu permainan. Macam Azeem, dia akan cepat bosan, tak boleh duduk diam. Tak sesuai. Jadi biarkan mereka bermain di sana. Kita pun boleh rehatkan kaki sebentar :-)

Tempat Permainan Untuk 3 Tahun Kebawah

TIPS KE-7 : PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL

Lepas penat bermain, yang terakhir sekali kami masuk ke cinema. Ada show Ejen Ali yang akan bermula. Yang menariknya para pelakon pun terdiri dari kanak kanak juga. Setiap watak akan di bantu oleh seseorang, jadi kanak kanak ini hanya perlu meniru gaya dan dialaog mereka sahaja. Rupa rupanya  boleh masuk ke Acting Academy dulu kalau nak jadi pelakon. Mereka akan di ajar 30 minit lebih awal. Ilham pada mulanya nak join tapi dah terlambat. Jadi penonton sajalah :-)

Habis saja show, jam telah pun menunjukkan hampir ke pukul 5 tanda waktu operasi Kidzania telah tamat untuk hari itu. Anda boleh tukarkan baki KidZos tadi dengan souvenir KidZania kalau jumlahnya 150 ke atas. Kalau kurang bolehlah simpan untuk diguna lain kali. KidZos yang kami ada total semuanya bernilai 160 ++, bolehlah nak tukarkan dengan satu barang sahaja tapi sengaja kami tak tukar sebab nanti berebut. jadi simpan sajalah bawa balik sebagai kenang kenangan

Itulah serba sedikit review, pengalaman, tips dan percutian seharian kami di KidZania Kuala Lumpur. Tempat yang fun dan menarik untuk anak anak menambah ilmu, belajar dan menerokai bidang kerjaya alam dewasa. Mereka juga akan lebih menghargai dan memahami bagaimana ibu dan bapa bekerja mencari pendapatan. Jikalau berkelapangan, bolehlah bawa sekeluarga terutamanya anak anak untuk merasai sendiri pengalaman di KidZania. Memang terbaik !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*