Category Archives: Preemie Medical Info

Bree sudah pulang

Salam semua sahabat-sahabat maya..
Setelah 84 hari berumah di NICU dan hampir 8 hari aku bertapa di sana bersama-sama si kenit tu, akhirnya bayi magis kami, Bree telah selamat pulang ke rumah kami. Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi..

NICU
Sebelum ni tak pernah pun duduk lama di NICu ni, paling lama pun sehari semalam menemankan anak yang sulung, hero Ilham yang ada komplikasi 4 tahun lepas. Adiknya Rania pula, lahir tanpa sebarang masalah. Tetapi yang ini, memang lama betul hampir-hampir 3 bulan ! . Peh lama kau… Seminggu sebelum Bree di benarkan pulang, macam biasa, si ibu akan di panggil untuk room in bersama-sama dengan bayi mereka untuk bonding dan biasakan diri dengan keadaan premature baby. Malam pertama di sana, penghawa dinginnya mak aiii.. sejuk gilerrr .. memang tak boleh tidur langsung. Sampai kena minta extra selimut. Rupa-rupanya memang bilik ibu yang satu itu terkenal dengan suhunya yang mengalahkan gunung Everest (ceh macam la aku pernah sampai ke sana 😀 ) .. tapi memang sejuk ahh.. bukan aku sorang je yang cakap ni, semua ibu-ibu termasuk la nurse pun cakap benda yang sama. Nasib baik la malam berikutnya aku dan baby dah boleh duduk sama jadi kami di tempatkan di Bilik Recovery. Suhu di sini sejuk yang biasa-biasa tu, so lega la aku ..

BERAT
Syarat untuk discharge dari NICU ni berat baby kena cecah 1.8kg barulah dibenarkan pulang. Berat bayi akan di timbang sehari sekali waktu pagi. Masa tu beratnya baru 1.68kg lepastu boleh pulak turun 1.64kg .. Aduhai anak … Aku tengok mak-mak lain malam-malam mesti bagi susu botol sama ada ebm mahupun susu formula. Jarang yang menggunakan cup ni sebab cup ni memang tumpah. Pada mulanya aku memang aku ikut peraturan bagi cup sebab tak nak nanti baby ada nipple confuse. Tetapi di sebabkan cup feeding mengambil masa untuk habiskan dan banyak yang tumpah ( bila tumpah, tak semua susu masuk perut baby, maka beratnya akan naik sikit-sikit seterusnya lambat la balik huhuh ) dan ramai mak mak yang seangkatan dengan aku dah bertukar ganti orang balik, maka aku pun tukar strategi. Hari ke-6 aku terus turun bawah ke kedai beli botol dan teat kecil untuk newborn. Jadinya malam itu bermulanya projek botol susu ..hihihih. Tujuannya hanya satu, untuk bagi berat baby naik cepat. Strategi menjadi ! Hari ke-8 kami di benarkan pulang. Bukan aku seorang tetapi 6 orang mak di situ jugak dapat kebenaran.. Yahooo..

PENJAGAAN
Di sebabkan Bree di lahirkan secara pramatang, maka sebelum kami di benarkan pulang, macam-macam yang di ajarkan berkaitan dengan kebersihan yang harus di jaga rapi. Antaranya

  • Botol susu harus di steril setiap kali selepas menggunakannya. Ia mesti di masuk kan di dalam air yang mendidih untuk mematikan kuman
  • Haruslah mencuci tangan sebelum dan selepas menyentuh baby. Ini juga harus di applikasikan kepada sesiapa juga yang datang ke rumah. Keluarga dan saudara mara
  • Tidak dibenarkan membawa bayi berjalan-jalan di tempat yang ramai orang seperti pasaraya, pasar malam, pasar pagi, kenduri. Ini adalah untuk mengelakkan jangkitan pada bayi akibat terdedah pada persekitaran ramai yang mungkin ada masalah kesihatan
  • Jiran tetangga tidak digalakkan untuk datang menziarah lagi buat masa ini. Hanya keluarga terdekat sahaja tetapi haruslah mematuhi penjagaan kebersihan di atas.
  • Tidak di benarkan melawat jika ada selsema, batuk atau demam
  • Jika suami merokok ( nasib baik cik abang tidak merokok), sebelum masuk kerumah apabila pulang dari kerja, kena buka baju di luar rumah untuk mengelakkan partikel yang tidak sihat menganggu sistem pernafasan bayi

Peh.. banyak betul kan. Macam mengada-ngada pulak. Tapi itulah semua yang di nasihatkan orang doktor . Ia adalah untuk menjaga kesihatan Bree, maklumlah sistem badannya belum kuat lagi. Jadi pada kawan-kawan atau jiran-jiran yang nak datang melawat tu mungkin dapat tangguh seketika nanti bila Bree dah sihat sikit dalan 6 bulan ke atas .. Boleh la datang ke rumah Link.. Terima kasih kerana memahami.. :)

KOMPLIKASI
Banyak komplikasi yang di alami Bree telah berjaya di tangani. PDA iaitu injap jantung yang terbuka pada awalnya telah pun tertutup dan berjalan dengan baik kini. PVA di otak hanya pada fasa II, fasa ringan yang tidak kritikal. Dan jangkitan kuman pun dah tak ada.. Yang perlu di follow up hanyalah ROP , masalah mata yang biasa di alami oleh bayi pramatang akibat sel-sel mata yang tidak matang.

Begitulah serba sedikit pengalaman di NICU Selayang dan segala yang berkaitan dengan Bree sebelum di benarkan balik ke rumah. Sekarang Bree dah pun bersama-sama kami. Sudah 10 hari. Banyak yang perlu disusun dan di ubahsuai sesuai dengan kehadiran orang baru. Dengan jadual Home School baru, online bisnes dan penjagaan Bree. Penat juga tu, tapi nasib baik ada orang-orang sekeliling yang memberi sokongan terutama cik suami tercinta, Tuan Besar Sharim. Dapat la juga masa untuk berehat seketika.. TQ Awak.. :)

Owh terima kasih yang tak terhingga juga kepada warga NICU Selayang yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi selama ini. Dan terima kasih kerana menjaga Bree dan bayi-bayi istimewa yang lain. Anda memang terbaekkkkkk ! Salute..

Juga kepada sahabat-sahabat dan anda semua yang sentiasa memberi doa yang tidak pernah hentinya.. sayang sumernya .

Tahap Kesihatan Bree

Assalamualaikum semua,
Ramai yang bertanya tentang Bree, terima kasih ya kerana anda semua ambil berat. Oklah jom kita update sikit.

Hari terakhir melawatnya adalah pada isnin lepas 25hb April. Suami yang pergi ke hospital membawa bekalan susu seperti biasa kerana saya ada urusan lain di luar. Terima kasih En. Suami.

Beratnya sudah naik ke 1.45kg ! Rasanya macam tak percaya pulak. Sebab masa lahir hanya 800gram.. Alhamdulilah. Feeding semakin baik. Cumanya imbasan dalam matanya mendapati ada sedikit ‘bump’ pada saluran darah ke matanya. Doktor ada memberitahu ini mungkin di sebabkan peningkatan fisiologi dalam badan Bree yang mungkin agak cepat yang menyebabkan ada tempat-tempat yang mengalami peningkatan sedikit luar biasa. Walau bagaimanapun doktor berjanji akan terus menjalankan pemantauan terhadap Bree. Kalau hal ini berterusan, worst come to worst pun Bree akan mendapat rabun jauh. Harap-harap nanti akan ada perubahan yang lebih baik untuk matanya. Sama-sama kita doakan ya.. ~

Bree sudah 2 bulan hari ini

Alhamdulillah,
Anak ‘ajaib’ kami hari ini sudah genap 2 bulan. Kalau diikutkan umur sebenar, dia masih lagi dalam kandungan berusia 8 bulan.
Perkembangan terbarunya :-

  • berat 1.28 kg
  • minum 17 ml / 2 jam sekali

Perkembangannya sangat memberangsangkan. Dia kini sudah boleh bernafas sendiri tanpa memakai sebarang alat bantuan.  Pergerakannya juga semakin aktif. Mengikut kata jururawat bertugas, beratnya menaik dengan baik. Mungkin dalam sebulan lagi saya akan di panggil untuk tinggal bersamanya di hospital untuk di ajar teknik menyusu dan penjagaan bayi yang betul bila beratnya mencecah 1.6 kg sehinggalah 1.8kg (berat ideal untuk keluar dari hospital).

Harapanya semoga semuanya berjalan lancar. Amin

Gambar-gambar My Little Preemie

Assalamualaikum semua,
   Hampir 10 hari blog ni tak ber update. Agak sibuk kebelakangan ni menguruskan keluarga dan berulang alik ke hospital menjenguk permata hati kami serta dalam proses menyiapkan shopping cart yang terbaru :) .. Nanti bila dah siap, akan di update kat sini ye..
   Semalam kami berdua pergi melawat Bree di hospital. Dia nampaknya aktif bergerak. Sukatan susu juga telah di naikkan ke 8 ml pada awalnya tapi terpaksa di turunkan ke 6 ml sebab dia muntah. Mungkin perutnya belum mampu untuk menampung jumlah itu.
   Sebelum ini, doktor ada memberitahu yang mereka jumpa satu lagi jenis micro organisma dalam darahnya, Tapi nama benda tu aku tak sempat nak suruh doktor tu tulis 😀 macam sebelum ini. Apa yang mereka buat sekarang hanya teruskan pemantauan dulu sebelum buat keputusan sama ada nak letak antibiotik tidak. Kalau nampak serius mereka akan update kami. Itu janji doktor tu.
   Pada hari yang sama juga, doktor ada maklumkan beberapa perkara yang buat aku tak dapat nak tidur malam. Antaranya :-

  • ada satu bahagian dalam jantung yang sepatutnya akan tutup bila bayi lahir tapi ini tidak berlaku pada Bree. Bahasa saintifiknya Patent Ductus Arteriosus (PDA). Ini mungkin di sebabkan dia bayi pramatang jadi bahagian dalaman organnya tidak begitu sempurna. Lama-kelamaan, Insyaallah ia akan tutup. Aku positifkan diri,
  • ada ketulan darah beku atau IVH dalam otak (doktor cakap memang kadang-kadang pramatang baby ada)
  • yang paling menakutkan, ada cyst atau ketumbuhan dalam otak juga yang masih belum dikenalpasti jenis dan tahap keseriusannya . Doktor masih monitor perkembangan.

Apa pun keadaannya aku tetap yakin dia akan sembuh seperti bayi-bayi sihat yang lain. Aku pasti akan membawa dia pulang ke rumah kami suatu hari nanti. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Bree. Setiap kali aku melawatnya, pastu aku akan berbual-bual, berzikir dan mengaji bersamanya. Aku mahu dia tahu bahawa aku sentiasa ada bersamanya memberi semangat dan kekuatan. Aku ingin dia kenal suara ibunya yang sering berkata-kata padanya ketika dia masih di dalam alam rahim sana. Aku yakin dia juga cekal dan mampu mengatasi segala ujian ini dan sampai masanya kami semua akan bersatu semula.. Amin

Hari Pertama , 14 Februari 2011 ~ 10 PM
Hari Ke-14, 28 Februari 2011 ~ 5.43 PM
Hari Ke-22, 8 Mac 2011 ~ 6.35 PM