Seminar Asas Menghafaz Al-Quran Dari Bayi

Assalamualaikum wbt,

Sabtu baru-baru ini saya berkesempatan untuk menghadiri Seminar Asas Menghafaz Al-Quran Dari Bayi yang di anjurkan oleh Islamic Parenting Network di PPAS, Shah Alam.

Agak lama juga sebelum ini berkeinginan nak pergi, tapi baru Sabtu lepas berpeluang. Alhamdulillah di permudahkan, (walaupun sedang menunggu hari :) ). Penceramahnya adalah Puan Lina Karim, ibu kepada adik Darwisha dan Darwish yang semakin “popular” kerana kemampuan mereka menghafaz 30 Juzu’ Amma pada usia 3 tahun. Dan sekarang mereka sedang menghafaz surah-surah pilihan. Hebatkan ?

Hafaz 30 Juzu' Amma Darwisha-Islamic Parenting NetworkAdik Darwisha sedang membacakan surah Al Kahfi tanpa melihat mushaf.

Memang ramai ibu bapa yang hadir, ada yang hadir dengan anak-anak kecil seawal pagi. MasyaAllah, seronok tengok ibu bapa muda kini lebih terbuka dalam menerima Islam sebagai cara hidup. Apatah lagi untuk diserapkan kepada cahayamata mereka. Moga bertambahlah khalifah Allah yang berkualiti dimuka bumi ini, InsyaAllah.

Secara ringkasnya, seminar ini menerangkan kaedah yang sesuai digunapakai oleh ibu-bapa dalam proses untuk melatih anak-anak menghafaz Al-Quran sedari kecil. Ia sepatutnya dimulai seawal proses kehamilan iaitu pada 5 bulan dalam kandungan, apabila telinga dan pendengaran bayi telah mula terbentuk.

Seterusnya, Puan Lina juga menerangkan. bagaimana untuk mewujudkan persekitaran yang condusive untuk  anak-anak dalam mencerap ayat-ayat Al-Quran dengan mudah tanpa paksaan. Ini kerana kaedah penghafalan bagi dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza.

Beliau juga tidak lokek berkongsi ilmu tentang jenis-jenis pelajar atau kecenderungan cara seseorang kanak-kanak itu belajar. Kanak-kanak yang berbeza kecenderungan memerlukan pendekatan yang berbeza juga untuk memastikan mereka mendapat impak yang maksimum. Antaranya :-

Visual : Cenderung belajar dengan cara melihat

Audio: Cenderung belajar dengan cara mendengar

Kinestetik: Cenderung belajar sambil bermain

Jadi ibu-bapa perlu mengenal pasti yang mana satukah ciri-ciri anak mereka sebelum memulakan pembelajaran.

Antara perkara lain yang dibincangkan adalah, toleransi haruslah wujud antara pasangan. Jangan terlalu berkira untuk saling membantu, seperti suami menolong isteri melakukan kerja-kerja rumah. Tetapkan juga siapa yang patut mengajar, menjadi “guru tetap” atau “guru sandaran”. Seelok-eloknya ambil satu waktu yang sama sebagai rutin pembelajaran setiap hari supaya anak-anak mudah mengikut dan bersedia.

Selain itu, turut dikongsi alat pembelajaran yang digunakan untuk mewujudkan “Quranic Environment” seperti flashcard, CD, VCD Juz Amma, VCD Surah Tabarrak dan cerita-cerita kartun berbentuk keIslaman.

Akhirnya sekali, majlis ini di turut diserikan dengan kehadiran Tuan Rojali Edris, suami kepada Puan Lina yang sama-sama memberi motivasi dan kata-kata semangat buat para ibu-bapa semua yang anak-anak kecil boleh dibentuk untuk menghafaz Al-Quran. Beliau juga memberi perangsang kepada bapa-bapa yang hadir supaya terus memberi sokongan kepada isteri dalam menjalankan misi membentuk khalifah muda.

Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar sehingga ke penghujung. Banyak yang dikongsikan dan banyak yang dibincangkan bersama. Buat yang berminat untuk mengetahui lanjut, boleh lah lawati laman web Islamic Parenting Network.

Sama-sama kita mencari Mahkota Syurga !

Salam Sayang,

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*